KUALA LUMPUR — Filem animasi tempatan terhangat, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan luar biasa sebanyak RM34.2 juta dalam tempoh hanya 11 hari tayangan di pawagam seluruh negara.
Angka ini memecahkan rekod yang pernah dicapai oleh filem pertama Ejen Ali pada tahun 2019, sekali gus menobatkan EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam tempoh masa paling singkat.
Kejayaan ini juga mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa popular yang turut ditayangkan pada bulan Mei seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch.
Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation serta pengarah filem EATM2, Usamah Zaid Yasin, menyatakan rasa syukur atas sambutan hangat daripada penonton pelbagai lapisan umur.
“Kami menghasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menantikan misi terbaru Ejen Ali. Kami bukan sekadar mahu membawa animasi Malaysia setaraf filem antarabangsa, tetapi juga memberikan pengalaman bermakna kepada semua penonton,” kata Usamah.
Menurut beliau, reaksi penonton yang penuh emosi—dari air mata, tawa hingga tepukan gemuruh di pawagam—merupakan hadiah paling berharga dan menjadi pendorong utama untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali.
Sehingga kini, lebih dua juta penonton telah menonton filem animasi terbitan Wau Animation dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) ini sejak tayangan perdana.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, Ejen Ali telah berkembang menjadi satu fenomena tempatan menerusi tiga musim siri animasi dan filem pertama yang dilancarkan pada 2019, diikuti oleh sekuel terbaru pada tahun ini.
Ejen Ali The Movie 2 mengisahkan perjalanan Ali yang dipilih menjadi perintis dalam misi berisiko tinggi di bawah program elit SATRIA. Program ini menggunakan sut berteknologi tinggi yang dipadankan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Namun, misi tersebut menjadi semakin kompleks apabila Ali diminta membantu Rizwan menjejaki dalang di sebalik ancaman yang menggugat keselamatan Cyberaya.

