Difahamkan, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama kira-kira jam 4 pagi sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Pendedahan ibu mangsa mengenai kesan lebam menimbulkan persoalan baharu dalam siasatan dan menambah tekanan terhadap pihak berkuasa untuk menyiasat kemungkinan wujud unsur jenayah atau perlakuan buli di sebalik insiden menyayat hati itu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail hari ini mengesahkan bahawa kertas siasatan lengkap mengenai kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
“Sudah diserahkan tadi,” katanya secara ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dalam kejadian tersebut dan menyatakan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk dakwaan-dakwaan yang timbul daripada pihak keluarga.
Orang awam serta pelbagai pihak terus menuntut agar siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi memberi keadilan kepada Allahyarham Zara Qairina dan keluarganya. – MYBERITA








