Tiga remaja dikecam, beri gelandangan nasi sisa tulang ayam 

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan remaja lelaki yang memberikan nasi bersama sisa tulang ayam goreng kepada seorang gelandangan disifatkan sebagai biadab, tidak berperikemanusiaan dan mempermainkan golongan kurang bernasib baik.

Menerusi satu klip video berdurasi kurang seminit yang tular di media sosial, tiga remaja kelihatan sedang menikmati ayam goreng dari sebuah restoran makanan segera, sebelum memasukkan tulang-tulang yang telah dikunyah ke dalam bungkusan nasi dan dipercayai menyerahkannya kepada seorang lelaki gelandangan.

Apa yang menyentuh hati ramai, wajah gelandangan tersebut kelihatan terkejut namun masih mengucapkan terima kasih kepada pemberi bungkusan, dipercayai kerana menghargai pemberian walaupun tidak tahu isi kandungannya pada awalnya.

Lebih mengundang kemarahan netizen, di akhir video itu, remaja-remaja terbabit turut merakam aksi mereka memberi ayam goreng sebenar kepada seekor anjing, dengan kapsyen sinis: “Kita perlu belajar membuat kerja kebajikan untuk membantu orang lain.”

Walaupun video berkenaan telah dipadamkan, ia sempat dikongsi semula oleh orang ramai dan menimbulkan kecaman meluas, dengan rata-rata netizen mengecam perbuatan tidak berperikemanusiaan itu yang dianggap menjadikan gelandangan sebagai bahan ejekan demi kandungan media sosial.

Pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung turut tampil mengecam tindakan tersebut yang disifatkannya sebagai satu bentuk penghinaan terhadap insan yang memerlukan.

“Selepas ini minta maaf, selesai. Inilah yang berlaku apabila menyalahgunakan akal yang Allah SWT kurniakan demi konten.

“Alhamdulillah, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menghina orang miskin, tetapi Islam mengajarkan umatnya untuk membantu orang miskin,” katanya.

Firdaus yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) turut menegaskan bahawa tindakan itu tidak boleh dilihat sebagai mewakili mana-mana kaum.

“Ini hanyalah kebiadaban tiga remaja ini, bukan keseluruhan kaum Cina,” tegasnya lagi.

Orang ramai diingatkan agar tidak mempersenda golongan gelandangan atau menjadikan mereka sebagai bahan konten, sebaliknya digalakkan untuk menzahirkan rasa prihatin dan bantuan secara ikhlas tanpa penghinaan.

BACA JUGA:  [VIDEO] Wanita terpaksa panggil bomba lepas kucing 'lock' kereta dari dalam
Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...