KUALA LUMPUR – Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan trafik di lebuh raya kendaliannya meningkat sehingga 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti sekolah dan sambutan Hari Malaysia.
Menurut kenyataan PLUS, tarikh puncak dijangka pada 12 hingga 13 September serta 19 hingga 20 September.
Bagi melancarkan perjalanan, pengguna dinasihatkan merancang perjalanan melalui jadual digital MyPLUS-TTA yang kini boleh diakses pada hari-hari puncak terpilih, termasuk Lebuh Raya Pantai Timur 2.
“Dengan perancangan lebih awal, pengguna dijangka menikmati perjalanan lebih lancar sepanjang musim percutian ini,” menurut kenyataan itu.
PLUS turut mengingatkan pengguna supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet (bagi pengguna RFID) mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

