KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia, bersempena kedatangan tahun baharu.
Menerusi satu hantaran yang dikongsi di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar tahun baharu ini membawa kesejahteraan serta kemakmuran yang berterusan kepada negara dan seluruh rakyat.
Seri Paduka Baginda turut berdoa agar Malaysia sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta dikurniakan keamanan, kemajuan dan kesejahteraan yang berpanjangan.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menyeru rakyat Malaysia supaya terus memperkukuh semangat perpaduan serta saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang, demi memastikan keharmonian dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.

