KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tular selepas memukul seorang warga emas di Jalan Cheras–Hulu Langat, Ahad lalu, didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mahu membunuh.
Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Saiful Adli Yusof, 52, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Saiful Adli didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang warga emas, Liew Khoon Foo, 70, dengan menumbuk dan menendang bahagian muka serta badan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Cheras–Hulu Langat, Batu 9 Cheras, kira-kira jam 4.05 petang pada 8 Februari lalu dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menakutkan mangsa secara jenayah dengan mengugut hendak menyebabkan kematian, di lokasi dan waktu sama, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aida Afiqah Shaari memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhammad Syakir Haznal memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal yang perlu menanggung isteri, empat orang anak berusia antara 16 tahun hingga enam hari, serta ibu mentua yang menghidap penyakit kronik.
Menurutnya, ketika kejadian tertuduh bersama isteri dan anaknya yang baru berusia tiga hari serta mengakui insaf atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berpunca daripada kemalangan membabitkan kereta mangsa jenis Proton Wira dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dipandu tertuduh di Jalan Cheras–Hulu Langat.
Mangsa yang ketakutan bertindak meneruskan perjalanan ke Taman Suntex, namun tertuduh telah mengekori dari belakang sebelum menahan kenderaan mangsa di lampu isyarat.
Tertuduh kemudian menendang kereta mangsa sehingga menimbulkan ketakutan sebelum bertindak menumbuk dan menendang mangsa apabila warga emas itu keluar dari kenderaan, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di muka, mata lebam, dagu bengkak serta lidah berdarah.
Ahad lalu, tular satu rakaman video berdurasi kira-kira satu minit di media sosial yang memaparkan suspek memarahi dan menendang mangsa yang sedang duduk di kerusi pemandu keretanya.

