SHAH ALAM – Usahawan dan pempengaruh media sosial terkenal, Christy Ng kini tampil dengan azam baharu apabila mengakui lebih bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan tahun ini.
Menurut penerima Anugerah Digital Creator (Hiburan) di Gempak Most Wanted Awards itu, pengalaman lalu yang menyaksikannya gagal berpuasa penuh akibat faktor kekurangan nutrisi menjadi pengajaran terbesar buat dirinya.
“Saya pernah cuba berpuasa sebelum ini tetapi agak mencabar sebab bersahur dengan hanya makan mi segera dan kurang minum air. Sepanjang hari rasa sangat haus, badan pula tak bermaya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengakui kurang pengetahuan tentang kepentingan pemakanan seimbang sebelum ini, Christy berkata dia kini lebih menitikberatkan pengambilan makanan bernutrisi serta memastikan tubuh mendapat hidrasi mencukupi ketika bersahur.
“Tahun ini saya betul-betul rancang menu sahur. Lebihkan makanan sihat dan pastikan minum air secukupnya. Saya memang berazam nak puasa penuh,” ujarnya.
Tambahnya, teguran rakan-rakan turut membuka matanya tentang kepentingan menjaga kesihatan ketika berpuasa.
“Kawan saya terkejut bila tahu saya cuma makan mi segera untuk sahur. Dari situ saya sedar, kita tak boleh ambil mudah soal nutrisi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Christy juga teruja untuk berkongsi kemeriahan Ramadan bersama kakitangan syarikatnya yang dianggap seperti keluarga sendiri. Malah, dia sudah merancang untuk ke Bazar Ramadan bersama pasukannya, The Bengap Boys bagi menikmati juadah kegemaran masing-masing.
Katanya, pantri pejabat turut ditambah dengan pelbagai stok makanan bagi memudahkan kakitangan yang bertugas mengikut jadual tidak menentu untuk bersahur atau berbuka di tempat kerja.
“Hos siaran langsung mula bekerja seawal jam 4 pagi. Jadi kami sediakan pilihan seperti nasi lemak, nasi ayam, lamb chop, makanan ringan dan manisan termasuk aiskrim.
“Ramadan kali ini pastinya lebih bermakna. Saya tak sabar nak rasai suasana Bazar Ramadan yang hanya datang setahun sekali,” katanya.

