KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan meningkat dan bergerak perlahan setakat pukul 8.43 pagi ini, menurut kemas kini oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Berdasarkan laporan Pusat Pengurusan Trafik LLM, keadaan cuaca adalah baik, namun pertambahan kenderaan menyebabkan kesesakan di beberapa laluan utama terutama di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
“Bagi arah utara di Lebuhraya Utara-Selatan (E1), trafik perlahan dilaporkan dari Bandar Baharu ke Jawi, Bandar Cassia ke Bukit Tambun, Juru ke Perai serta dari Plaza Tol Sungai Dua ke Bertam. Manakala arah selatan pula melibatkan laluan Permatang Pauh ke Perai,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sementara itu, di New Klang Valley Expressway (NKVE), kesesakan dikesan arah utara dari Shah Alam ke Subang.
Di Lebuhraya Utara-Selatan (E2), aliran trafik perlahan arah utara dari Plaza Tol Sungai Besi ke Taman Teknologi Malaysia, manakala arah selatan melibatkan laluan Setia Tropika ke Pasir Gudang.
“Turut mengalami kesesakan ialah laluan ke sempadan antarabangsa iaitu di Tambak Johor arah selatan dari CIQ Sultan Iskandar ke CIQ Woodlands, serta Linkedua Expressway dari Jambatan Linkedua ke CIQ Tuas.”
Di Lembah Klang, beberapa lebuh raya utama lain turut mencatatkan trafik perlahan termasuk Shah Alam Expressway (KESAS), North-South Central Link Expressway (ELITE), Cheras-Kajang Expressway (GRANDSAGA), Kuala Lumpur-Karak Expressway (KLK), Sungai Besi Expressway (BESRAYA), New Pantai Expressway (NPE) serta Damansara-Puchong Expressway (LDP).
Selain itu, di Kajang Dispersal Link Expressway (SILK), kesesakan dilaporkan arah barat dari Cheras Jaya ke Taming Jaya dan dari Balakong ke The Mines.
Sehubungan itu, LLM menasihatkan pengguna lebuh raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan keselamatan. Sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan, pengguna dinasihatkan supaya berada di belakang penghadang jalan serta peka dengan keadaan persekitaran.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui talian hotline 1-800-88-7752, saluran WhatsApp LLM Info Trafik, aplikasi X (@llminfotrafik), Facebook rasmi LLM serta aplikasi TUJU dan MYJalan.

