KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Alha Alfa menitipkan pesanan khusus buat orang ramai yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri agar memastikan rumah ibu bapa dikemas terlebih dahulu sebelum kembali ke kediaman masing-masing.
Menerusi perkongsian di Threads, Alha mengingatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan rumah keluarga dalam keadaan bersepah selepas selesai beraya.
Menurutnya, pesanan itu bukan sahaja ditujukan kepada orang lain, malah sebagai peringatan untuk dirinya sendiri.
“Nak pesan sikit kat diri sendiri dan korang semua. Settle dah raya? Nak balik rumah masing-masing dari kampung?
“Sebelum balik tolong kemas-kemas balik rumah mak korang. Yang menumpang rumah nenek ke apa, kemas semula seperti asal.
“Yang ada anak kecil buang segala lampin dan tolong buang sampah siap-siap,” katanya.
Dalam masa sama, Alha turut menasihatkan agar stok barangan dapur bagi memastikan ibu bapa atau keluarga yang tinggal di kampung tidak berdepan kesukaran selepas Aidilfitri.
Menurutnya, langkah kecil seperti itu mampu mengelakkan ibu bapa daripada berasa tertekan untuk mengemas rumah dan membeli barangan dapur selepas anak-anak pulang ke bandar.
“Kat dapur top up balik beras, gula, susu, telur apa semua. Kesian mak ayah nenek kita semua, dari gembira nanti stres nak mengemas dan barang dapur tak cukup,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna bersetuju dengan pesanan berkenaan dan menyifatkannya sebagai peringatan yang baik untuk menjaga kebajikan ibu bapa selepas musim perayaan. -MYBERITA

