TOKYO – Malaysia dan Jepun bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pelaburan berteknologi tinggi melibatkan teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Japan.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala antara beliau dan rakan sejawatannya, Sanae Takaichi, bagi memastikan Malaysia terus menerima sokongan kerajaan serta syarikat utama Jepun dalam mempercepat pembangunan sektor teknologi strategik negara.
Anwar berkata, selain perdagangan dan pelaburan, kedua-dua negara turut memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi baharu khususnya teknologi kuantum yang kini muncul sebagai bidang strategik global.
“Soal kuantum yang ditekankan oleh IBM ini sekarang. Dan ini sangat-sangat penting sepertimana kita tekankan soal AI dulu,” katanya pada sidang media penutup lawatan rasmi tiga hari beliau di Tokyo.
Beliau menegaskan teknologi kuantum memerlukan kepakaran kejuruteraan peringkat tinggi dan perhatian serius kerana ia sedang berkembang pesat di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Majlis Kuantum Negara bagi menyelaras pembangunan teknologi berkenaan secara lebih tersusun sebelum dibawa ke pertimbangan Jemaah Menteri.
Anwar turut memaklumkan syarikat teknologi antarabangsa IBM yang mempunyai operasi di Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura kini memilih Malaysia sebagai lokasi pengembangan inisiatif teknologi kuantum.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia kini memberi fokus kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memindahkan teknologi serta meningkatkan keupayaan tempatan, berbanding pelaburan tanpa penilaian strategik.
Menurutnya, melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), negara telah mencatat peningkatan nilai perdagangan dan pelaburan termasuk 2,800 projek dengan nilai RM142.96 bilion serta lebih 340,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, kerjasama penyelidikan antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Jepun turut diperkukuh, termasuk penglibatan Tokyo, University of Tokyo dan University of Malaya dalam penyelidikan AI yang bakal diperluaskan kepada International Islamic University Malaysia.
Anwar berkata usaha itu penting bagi memastikan Malaysia tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi turut menjadi negara yang membangun dan memindahkan teknologi bertaraf tinggi.

