Jumaat, Jun 19, 2026
spot_img
HomeNASIONALUSM naik ke tangga 128 dunia, kukuh universiti terbaik global

USM naik ke tangga 128 dunia, kukuh universiti terbaik global

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa apabila melonjak enam anak tangga kepada kedudukan ke-128 dunia dalam QS World University Rankings 2027, sekali gus mengekalkan status dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.

Pencapaian terbaharu itu turut meletakkan USM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia, berasaskan penilaian terhadap 8,808 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia, meningkat berbanding 8,467 institusi pada edisi sebelum ini. Daripada jumlah tersebut, hanya 1,504 universiti berjaya tersenarai dalam ranking global akhir.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata peningkatan itu mencerminkan usaha berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan serta jaringan antarabangsa.

“Peningkatan dalam ranking ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam memajukan kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan kolaborasi antarabangsa. Kejayaan ini adalah hasil dedikasi warga akademik, penyelidik, pelajar, alumni dan kakitangan sokongan yang komited mengangkat reputasi USM di peringkat global,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata USM akan terus memperkukuh agenda transformasi pendidikan tinggi melalui penyelidikan berimpak tinggi, pengantarabangsaan strategik, pembangunan bakat global serta komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).

Dalam penilaian mengikut indikator, USM menunjukkan prestasi cemerlang bagi kategori pelajar antarabangsa apabila berada di kedudukan ke-61 dunia, selain berada di tangga ke-100 bagi International Research Network (IRN), menjadikannya universiti Malaysia tertinggi dalam kategori tersebut.

USM turut mencatat peningkatan dalam lima daripada sembilan indikator utama termasuk Sustainability, Faculty-Student Ratio, Citations per Faculty, International Faculty serta International Research Network. Selain itu, penerbitan penyelidikan bersih meningkat 7.46 peratus (2020–2024), manakala sitasi bersih naik 23.94 peratus (2020–2025).

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-spot_img