KUALA LUMPUR – Selepas mengharumkan nama negara di trek olahraga dan menamatkan pengajian di Amerika Syarikat, pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi kini dilihat semakin hampir untuk memulakan satu lagi fasa penting dalam kehidupannya apabila dijangka menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (UM).
Perkembangan itu memberi gambaran jelas mengenai perancangan masa depan atlet berusia 22 tahun berkenaan apabila beliau mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Dekan Fakulti Sukan dan Sains Eksesais UM, Profesor Madya Dr Zulkarnain Jaafar serta Pengarah Pusat Sukan UM, Afizal Abu Othman.
Sebelum ini, Azeem yang memegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) pernah menyatakan hasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.
“Saya memang bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dan pada masa sama mahu berada lebih dekat dengan keluarga selepas hampir empat tahun berada di Amerika Syarikat,” katanya sebelum ini.
Pemilihan UM dilihat bertepatan dengan keperluan Azeem yang kini memasuki tempoh kritikal dalam karier olahraganya menjelang beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Asia dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Dalam masa sama, pihak universiti turut menyatakan komitmen untuk membantu memastikan atlet negara itu memperoleh laluan akademik terbaik tanpa menjejaskan persediaan dan komitmennya sebagai atlet elit.
Kehadiran Azeem ke UM juga dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan institusi pengajian tinggi itu dengan pembangunan atlet berprestasi tinggi negara, selain menjadi inspirasi kepada pelajar untuk mengimbangi kecemerlangan akademik dan sukan.
Prestasi semasa Azeem turut membuktikan beliau masih berada pada tahap terbaik apabila menjuarai acara 100m lelaki pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia baru-baru ini dengan catatan 10.21 saat.
Beliau turut membantu kuartet 4x100m negara mencatat masa 39.16 saat, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pelari terpantas Malaysia ketika ini.


