Selasa, 30 Jun 2026
spot_img
HomeHiburanNubhan mohon doa, kesihatan Mak Jenny semakin merosot

Nubhan mohon doa, kesihatan Mak Jenny semakin merosot

KUALA LUMPUR – Penyanyi Nubhan Ahamad mengundang rasa sebak apabila mendedahkan keadaan kesihatan ibunya, Mak Jenny, yang kini semakin merosot sehingga lebih banyak menghabiskan masa terlantar dan kerap menerima rawatan di hospital.

Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, berkata perubahan yang berlaku terhadap ibunya itu membuka matanya bahawa tiada siapa mampu kekal kuat selama-lamanya.

@nubhan86 Kalau mak ayah masih sihat, jgn skip video ni… #omakjenny #nubhan ♬ Water Sound and Piano Healing Music – KOJIRO

“Kesihatan mak perlahan-lahan merosot. Daripada seorang wanita yang sentiasa aktif, yang sentiasa menjadi penguat keluarga tapi sekarang, hospital mula jadi tempat kerap kami pergi.

“Rawatan demi rawatan. Dan sejak hari tu, aku mula sedar tiada siapa yang akan kekal kuat selama-lamanya,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok.

Pelantun lagu Ada UntukMu itu mengakui sukar menerima hakikat apabila melihat wanita yang suatu ketika dahulu sentiasa aktif, ceria dan menjadi tulang belakang keluarga kini berdepan ujian kesihatan yang berat.

Menurutnya, kenangan bersama ibunya ketika masih sihat kini menjadi antara momen paling berharga yang akan sentiasa dikenang.

“Dulu, aku selalu ingat mak akan kekal macam ni selamanya. Masih mampu jalan, ketawa, bergurau dengan kami.

“Rupa-rupanya, Allah hanya meminjamkan saat-saat tu supaya satu hari nanti, bila aku lihat kembali semua kenangan ni, aku tahu betapa berharganya nikmat mempunyai seorang ibu yang sihat. Dan betapa cepatnya masa mengubah segala-galanya,” katanya.

Dalam hantaran sama, Nubhan turut berkongsi keadaan terkini Mak Jenny yang kini hanya mampu terlantar, sekali gus mengundang simpati orang ramai.

Penyanyi itu turut memohon agar orang ramai mendoakan kesembuhan buat ibunya supaya diberikan kesihatan yang lebih baik.

“Inilah keadaan Mak Jenny sekarang. Doakan Mak Jenny sembuh ya. Dia hanya terbaring.

“Orang selalu cakap, selagi mak masih ada, kita masih ada tempat untuk pulang. Hari ni, aku masih pulang, tapi aku dah tak boleh pulang kepada mak yang dulu. Mak yang sambut dengan senyuman, sibuk bertanya dah makan?

“Sekarang, aku cuma mampu pandang wajah mak dan berdoa dalam diam,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine