GLASGOW – Jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas kelima buat kontinjen Malaysia selepas menjuarai acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan catatan lompatan sejauh 7.17 meter. Kejayaan itu turut menjadi lebih bermakna apabila ia diraih dalam penampilan sulung acara berkenaan di pentas Sukan Komanwel, sekali gus mengukuhkan status beliau sebagai antara atlet para terbaik dunia.
Abdul Latif yang juga diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara sebelum temasya berlangsung meluahkan rasa syukur kerana berjaya menyumbang pingat emas kelima Malaysia, sekali gus memenuhi harapan yang diletakkan ke atas dirinya.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat menyumbang pingat emas kelima buat Malaysia. Lebih istimewa, saya diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang dan ini juga merupakan Sukan Komanwel pertama saya. Kejayaan ini amat bermakna buat saya dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, keadaan cuaca hujan sepanjang pertandingan sedikit sebanyak menjejaskan usahanya untuk memecahkan rekod dunia miliknya, namun beliau tetap bersyukur kerana misi utama membawa pulang pingat emas berjaya disempurnakan.
“Saya sebenarnya mengharapkan untuk memperbaharui rekod dunia, tetapi cuaca hujan menjadi cabaran utama. Walaupun begitu, saya tetap bersyukur kerana sasaran utama untuk memenangi pingat emas berjaya dicapai,” katanya lagi.
Kejayaan Abdul Latif bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di bumi Glasgow, malah menjadi bukti keunggulan atlet para negara di pentas antarabangsa. Malah, Malaysia turut melengkapkan pencapaian cemerlang dalam acara itu apabila seorang lagi atlet negara, Eljoe Gotuoh, meraih pingat gangsa.


