PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Perdana Putra petang ini mencuri perhatian susulan perkembangan politik semasa, termasuk keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan beberapa jam sebelumnya.
- Pengamal media mula berkumpul di pekarangan bangunan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu sejak kira-kira pukul 4 petang bagi mengikuti perkembangan mesyuarat berkenaan.
- Beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) turut dilihat memasuki kawasan Perdana Putra sekitar pukul 5.20 petang menjelang mesyuarat yang dijadualkan bermula pada pukul 5.30 petang.
- Tumpuan terhadap mesyuarat itu hadir pada hari sama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkannya menjalani baki hukuman secara…
- Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan…
Pengamal media mula berkumpul di pekarangan bangunan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu sejak kira-kira pukul 4 petang bagi mengikuti perkembangan mesyuarat berkenaan.
Beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) turut dilihat memasuki kawasan Perdana Putra sekitar pukul 5.20 petang menjelang mesyuarat yang dijadualkan bermula pada pukul 5.30 petang.
Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka melibatkan kepimpinan tertinggi parti komponen gabungan berkenaan.
Antara pemimpin utama PH ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tumpuan terhadap mesyuarat itu hadir pada hari sama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Pengampunan berkenaan tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta selain pematuhan syarat yang ditetapkan.
“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan BHEUU.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke memaklumkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan bermesyuarat esok bagi membincangkan dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti berhubung pengampunan bersyarat Najib.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi bahawa isu pengampunan Najib menjadi agenda Mesyuarat Majlis Presiden PH petang ini. – MYBERITA
