Sabtu | 03/10/2026 | 8:09:29 pm
HomeHiburanErma Fatima pertahan Kaisar, tak peduli kecaman netizen

Erma Fatima pertahan Kaisar, tak peduli kecaman netizen

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit, Erma Fatima menegaskan kecaman netizen tidak akan menghalangnya daripada mempertimbangkan novel Kaisar karya Mustaqim Jiwa untuk diadaptasi ke drama atau filem.

Erma, 58, berkata sebagai pengkarya, beliau mempunyai kebebasan untuk menentukan karya yang dirasakan sesuai untuk diterbitkan, tanpa perlu terikat dengan pandangan pihak lain.

“Kalau saya hendak ambil pun, itu hak saya. Siapa mereka untuk menghalang saya daripada mengambil novel itu? Mereka tiada hak untuk menghalang saya daripada mengambil Kaisar sebagai drama atau filem,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Musollah Aisya, Titiwangsa, baru-baru ini.

Menurut Erma, beliau tidak mempunyai masa untuk melayan kecaman yang dilemparkan terhadapnya di media sosial, termasuk menerusi platform Threads.

“Mereka hendak cakap sampai berbuih mulut sekalipun di Threads itu, saya memang tak baca. Buang masa sahaja kutuk saya di situ,” jelasnya.

Dalam pada itu, Erma turut mempertahankan Mustaqim yang tampil dalam sesi ‘pitching‘ bagi memperkenalkan novel berkenaan kepadanya.

Beliau berkata, tindakan penulis itu adalah sebahagian daripada usaha seorang pengkarya mendapatkan peluang untuk mengembangkan hasil tulisannya ke medium lain.

“Budak itu tiada dosa apa. Dia menulis novel dan datang untuk ‘pitch’ novel dia kepada saya. Siapa pun saya buka untuk ‘pitch’ novel,” katanya.

Erma turut mempersoalkan tindakan netizen yang mengecam Mustaqim sedangkan mereka belum tentu membaca keseluruhan novel berkenaan.

“Adakah anda sudah baca novel dia yang hendak kata novel dia tak berjenis? Itulah manusia, menghukum saja,” katanya.

Malah, beliau menyifatkan usaha Mustaqim menghasilkan novel jauh lebih baik berbanding hanya menggunakan media sosial untuk melontarkan komen negatif terhadap orang lain.

“Setidak-tidaknya budak itu tulis novel. Dia bukan tulis komen yang buruk-buruk tentang orang di media sosial,” katanya.

Erma turut menyifatkan Mustaqim sebagai seorang penulis yang mempunyai akhlak baik dan tidak wajar dihukum hanya berdasarkan tanggapan terhadap karyanya.

“Budak itu akhlaknya baik. Tak ada pula saya tengok akhlak dia buruk. Siapa kita hendak hakimi karya dia buruk atau tidak?” katanya.

Sebelum ini, perkongsian foto sesi ‘pitching‘ novel Kaisar bersama Erma oleh Mustaqim di Threads mengundang pelbagai reaksi netizen.

Sebahagian pengguna media sosial mempersoalkan tindakan Erma mempertimbangkan karya berkenaan untuk diadaptasi, selain mendakwa jalan ceritanya kurang sesuai untuk diperluaskan ke layar.

– Berita Harian Online

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 3 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|