Sabtu | 03/10/2026 | 8:09:31 pm
HomeJenayahPenunggang positif alkohol lari lawan arus, dua peserta marathon dirempuh

Penunggang positif alkohol lari lawan arus, dua peserta marathon dirempuh

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang penunggang motosikal melarikan diri selepas diarahkan berhenti ketika laluan ditutup bagi acara Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (KLSCM) 2026 membawa padah apabila dia melanggar dua peserta larian di Jalan Munshi Abdullah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 pagi itu, penunggang berkenaan bersama pembonceng lelaki berusia 19 tahun dipercayai melepasi laluan yang telah ditutup menggunakan kon sebelum diarahkan berhenti oleh anggota polis yang bertugas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, penunggang berkenaan bagaimanapun bertindak melarikan diri secara melawan arus sebelum merempuh dua peserta marathon.

“Penunggang dipercayai bertindak melarikan diri secara melawan arus sebelum melanggar dua peserta marathon yang sedang berlari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang peserta wanita berusia 50 tahun mengalami kecederaan di bahagian leher dan kini menerima rawatan di Prince Court, manakala peserta lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada lutut kanan dan tangan.

Mohd Zamzuri berkata, saringan awal alkohol terhadap penunggang berkenaan turut menunjukkan keputusan positif dengan bacaan EBA 164 miligram bagi setiap 100 mililiter.

“Penunggang dan pembonceng kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pengambilan sampel darah dan air kencing untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Penunggang motosikal itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Oktober, manakala pembonceng direman selama dua hari sehingga esok.

Kedua-duanya ditahan di Lokap Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Sinar Harian

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 3 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|