WASHINGTON – Seorang jurutera elektrik Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS) ditahan kerana didakwa menggunakan kepakaran teknikalnya untuk membantu kumpulan Houthi di Yemen, termasuk menyediakan sokongan berkaitan sistem komunikasi serta mendapatkan komponen dron dan bahan letupan.
Ashton Hamed Ellaboudy, 51, dari Richland, Washington, ditahan pada Khamis dan dijadual menghadiri prosiding mahkamah pertamanya pada Jumaat, menurut Jabatan Kehakiman AS.Siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati Ellaboudy turut melakukan perjalanan ke Yemen pada September tahun lalu dengan menggunakan pasport rasmi yang pernah dikeluarkan kepadanya ketika berkhidmat dengan Kor Jurutera Tentera Darat AS.
Menurut dokumen mahkamah, beliau berlepas dari Richland ke Oman sebelum menyeberang masuk ke Yemen dengan tujuan untuk menuju ke Sanaa, ibu negara yang dikuasai Houthi.
Pihak berkuasa turut mendakwa Ellaboudy cuba menggunakan latar belakang kejuruteraannya bagi membantu meningkatkan keupayaan komunikasi kumpulan berkenaan.
FBI berkata, beliau berkomunikasi dengan sumber sulit yang menyamar sebagai anggota Houthi dan memberikan nasihat berkaitan peralatan komunikasi serta sistem tenaga.
Dalam siasatan itu, Ellaboudy turut didakwa membeli pelbagai komponen yang boleh digunakan dalam penghasilan bahan letupan buatan sendiri dan dron.
Lebih mencetuskan perhatian, pihak berkuasa mendakwa Ellaboudy memberitahu pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan AS bahawa perjalanan ke Oman dilakukan atas urusan kerja kerajaan.
Bagaimanapun, penyelianya di Jabatan Tenaga dilaporkan tidak mengetahui sebarang perjalanan rasmi atau tugasan kerajaan yang membabitkan Ellaboudy ke rantau berkenaan.
Ellaboudy didakwa mengikut undang-undang AS berkaitan pemberian sokongan material kepada organisasi yang ditetapkan sebagai organisasi pengganas asing, termasuk Houthi.
Pembantu Peguam Negara bagi Keselamatan Negara, John A. Eisenberg, berkata pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan.
“Dakwaan ini amat membimbangkan,” katanya dalam kenyataan Jabatan Kehakiman AS.
Jika disabitkan kesalahan, Ellaboudy berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman AS menegaskan pertuduhan itu masih berupa dakwaan dan Ellaboudy dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.
