KUALA LUMPUR – Lebih sejuta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih mempunyai tunggakan bayaran balik dengan jumlah keseluruhan mencecah RM10.7 bilion setakat 31 Ogos lalu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan angka itu membabitkan seramai 1.16 juta peminjam, sekali gus menunjukkan jumlah tunggakan yang masih besar dan perlu ditangani menerusi pendekatan kutipan lebih berkesan.
Menurut KPT, beberapa langkah telah dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan pinjaman PTPTN termasuk menambah baik terma serta syarat pemberian pinjaman supaya bantuan pendidikan itu lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Penambahbaikan berkenaan turut mengambil kira kemampuan kewangan PTPTN bagi memastikan kelangsungan dana pendidikan untuk generasi pelajar seterusnya.
“Inisiatif lain ialah meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kutipan bayaran balik pinjaman melalui pelaksanaan penguatkuasaan serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan korporat,” menurut kementerian itu.
Perkara berkenaan dimaklumkan KPT menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu).
Beliau meminta penjelasan mengenai jumlah terkini hutang peminjam PTPTN serta usaha kerajaan untuk meningkatkan semula kadar bayaran balik pinjaman pendidikan berkenaan.
Dalam pada itu, KPT memaklumkan PTPTN sentiasa membuka ruang kepada peminjam yang berdepan kesukaran untuk tampil berunding berhubung komitmen bayaran balik masing-masing.
Peminjam boleh memohon penstrukturan semula bayaran balik berdasarkan kemampuan kewangan atau mendapatkan penangguhan bayaran tertakluk kepada kelonggaran dan syarat yang dibenarkan. – BERNAMA
