KUALA TERENGGANU – Perjalanan dua beradik menuju ke Seberang Takir bertukar tragedi apabila seorang pelajar Tingkatan Empat maut, manakala adik perempuannya berusia 12 tahun cedera dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Sungai Buaya, Kampung Batin di sini, hari ini.
Mangsa, Ahmad Areesy Zafreen Ahmad Azhar, 16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang.
Kemalangan itu turut menyebabkan dua lagi individu cedera, masing-masing seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan suri rumah berusia 57 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ketika kejadian, mangsa bersama adiknya sedang dalam perjalanan dari Kampung Batin menuju ke Seberang Takir dengan menaiki motosikal jenis Modenas Kriss.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki dua beradik berkenaan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki mereka dikatakan cuba memotong kenderaan lain sebelum bergesel dengan sebuah motosikal Honda EX5 ditunggang seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang berada di laluan bertentangan. Manakala motosikal Honda EX5 itu pula dilanggar motosikal Honda NSC yang ditunggang seorang suri rumah berusia 57 tahun yang berada di laluan sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azli berkata, Ahmad Areesy Zafreen mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia, sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal Honda NSC pula dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk menerima rawatan,” katanya.
Adik perempuan mangsa dan penunggang Honda EX5 yang turut mengalami kecederaan pula dikejarkan ke unit kecemasan HSNZ bagi mendapatkan rawatan. – KOSMO
