PASIR SALAK – Dua remaja berusia 18 dan 19 tahun ditemukan maut di dalam parit selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Teluk Sareh, Kampung Gajah, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Adam Danial Abdul Rahman, 18, dan Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, manakala pemandu kereta, Mohamad Nor Afifi Harun, 31, mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.29 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Yaris dan motosikal Yamaha Y15 itu menyebabkan kedua-dua kenderaan berada di dalam parit.
“Setibanya jentera di lokasi didapati kereta Toyota Yaris telah berada di dalam parit dan terdapat seorang mangsa lelaki yang cedera di dalam kenderaan tersebut namun tidak tersepit.
Penunggang dan pembonceng motosikal yang maut turut berada di dalam parit,” katanya dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata, ketua operasi kemudian menjalankan penilaian situasi menggunakan konsep SAVER sebelum mengarahkan anggota mengangkat ketiga-tiga mangsa menggunakan pengusung.
Katanya, kedua-dua remaja berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, pemandu kereta yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Seri Iskandar bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.54 pagi. – MalaysiaGazette
