KOTA KINABALU – Pelajar di seluruh negara berpeluang mengikuti kelas tuisyen secara dalam talian secara percuma dari rumah tanpa perlu hadir ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menerusi cadangan peluasan program e-Tuisyen Rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya kini sedang meneliti kaedah terbaik bagi membolehkan pelajar yang mempunyai capaian internet stabil menikmati kemudahan pembelajaran itu secara langsung dari kediaman masing-masing.
Menurutnya, program e-Tuisyen Rakyat ketika ini menawarkan bimbingan guru secara dalam talian bagi lima mata pelajaran secara percuma, namun penyertaan masih memerlukan pelajar hadir ke premis NADI.
“Salah satu program yang sedang kita selaraskan untuk memanfaatkan lebih ramai ialah program e-Tuisyen Rakyat yang menyediakan program tuisyen secara dalam talian dengan seorang guru secara percuma dalam lima mata pelajaran.”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan NADI Inanam Sentral, di sini, hari ini.
“Pada waktu ini, pelajar perlu datang ke NADI tetapi kita sedang merangka cara terbaik untuk memungkinkan pelajar yang mempunyai internet baik untuk mengikuti program e-Tuisyen Rakyat secara dalam talian dari rumah.
“Program-program ini disediakan secara percuma untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar.
Fahmi berkata, peluasan program berkenaan merupakan antara usaha kerajaan memastikan kemudahan digital dapat dimanfaatkan secara lebih meluas, khususnya dalam membantu pelajar mendapatkan akses pendidikan tambahan.
“Pertama sekali, kita ingin mengembangkan program e-Tuisyen Rakyat untuk pelajar-pelajar yang mempunyai internet yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan peranan NADI kini semakin berkembang daripada sekadar menyediakan kemudahan internet kepada hab pembangunan bakat, kemahiran dan ekonomi digital masyarakat.
Katanya, pendekatan baharu itu turut melibatkan pelaksanaan program secara terus dalam komuniti melalui pengurus dan penolong pengurus NADI, selain inisiatif NADI on Wheels.
“NADI hari ini jauh berbeza daripada sebelumnya. Kita bukan sekadar melakukan program di premis NADI tetapi kita membawa pengurus dan juga penolong pengurus NADI keluar ke komuniti untuk mereka laksanakan beberapa modul dan program,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 1,099 NADI beroperasi di seluruh negara termasuk 132 di Sabah susulan pembukaan NADI Inanam Sentral.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan program 1 NADI 1 Prompt Engineer turut mencatat perkembangan positif dengan penyertaan 1,247 individu di seluruh negara, termasuk 509 peserta dari Sabah.
Menurutnya, sebanyak 50 peratus peserta kumpulan pertama sudah melengkapkan ketiga-tiga tahap latihan, manakala pencapaian keseluruhan program kini melebihi 60 peratus daripada sasaran ditetapkan.
Beliau berkata, pembangunan kemahiran digital melalui NADI diharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan jarak jauh serta membantu masyarakat menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan komuniti masing-masing.
