KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang tidak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut bakal menikmati bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) MADANI berjumlah RM200 pada tahun depan, menerusi dua pembayaran berasingan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan RM100 itu akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri, manakala pembayaran kedua menjelang ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara.
Menurut beliau, peluasan bantuan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).
“Manakala selain penerima STR yang berumur 18 tahun ke atas, akan menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang tujuh dasawarsa Merdeka.
“Ini akan memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peningkatan peruntukan keseluruhan STR dan SARA kepada RM16 bilion bagi 2027 berbanding RM15 bilion tahun ini.
Katanya, semua penerima STR akan menerima bantuan SARA sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun, yang dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.
“Sukacita diumumkan, peruntukan STR dan SARA 2027 ditingkatkan kepada RM16 bilion, ketimbang RM15 bilion.
“Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun. Ini akan memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima STR,” katanya.
Sementara itu, kerajaan turut memperluaskan penggunaan bantuan SARA bagi membolehkan penerima membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Langkah itu membolehkan penerima menggunakan bantuan berkenaan untuk mendapatkan keperluan makanan segar selain barangan asas yang ditawarkan di premis rakan niaga SARA.
Setakat ini, kira-kira 15,000 premis berdaftar sebagai rakan niaga SARA di seluruh negara, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi.
Anwar berkata, kerajaan turut menyasarkan peningkatan penyertaan kedai runcit kecil kepada 10,000 premis sebelum akhir tahun ini bagi memperluaskan akses rakyat terhadap kemudahan pembelian menggunakan bantuan berkenaan.
Pelaksanaan penambahbaikan itu merupakan antara inisiatif yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperluaskan liputan bantuan tunai dan keperluan asas kepada rakyat. – MYBERITA
