Bangunan ikonik Merdeka 118 Precinct mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi lokasi penyatuan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai pasangan suami isteri, pagi ini.
Pasangan itu selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada pukul 10.40 pagi, Sabtu, dalam majlis akad nikah bertemakan ‘Islamic Arabic’ yang dihadiri seramai 255 jemputan terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Majlis berkenaan dikendalikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang bertindak sebagai jurunikah.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, dinikahkan berwalikan bapanya, Awang Astillah Abdullah atau Dullah, dengan disaksikan Ustaz Syed Abdullah Syed Nordin dan Ustaz Mohd Nizam Md Nor.
Syed Saddiq turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM500 kepada Bella, manakala acara pertukaran hantaran menyaksikan tujuh dulang daripada pihak lelaki dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.
Pasangan itu tampil anggun mengenakan busana hasil rekaan pereka fesyen terkenal, Zaimi Zulkafli, bagi menyerikan lagi hari bersejarah mereka.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan mereka sebelum disatukan secara rasmi sebagai suami isteri. – Sinar Harian
