KUALA LUMPUR – Penyatuan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi perhatian hari ini apabila pasangan itu melangkah ke fasa baharu kehidupan menerusi majlis akad nikah di Menara Merdeka 118, di sini.
Majlis yang berlangsung pada 10 Oktober 2026 itu mengetengahkan konsep serba putih dengan gabungan elemen tradisional dan Islamik, sekali gus menyerlahkan suasana sederhana tetapi penuh bermakna buat pasangan berkenaan.
Kehadiran ahli keluarga, kenalan rapat serta tetamu jemputan turut memeriahkan majlis yang dinanti-nantikan peminat kedua-dua figura itu.
Hubungan pasangan berkenaan sebelum ini mencuri perhatian ramai apabila Syed Saddiq melamar Bella pada 28 Mac lalu ketika mereka berada di Gunung Kinabalu, Sabah.
Selepas majlis pernikahan, pasangan itu turut merancang untuk meraikan hari bahagia bersama masyarakat menerusi Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober, diikuti Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini.
Inisiatif itu dijangka membuka ruang kepada orang ramai untuk berkongsi kegembiraan bersama pasangan berkenaan, termasuk menerusi tradisi rewang dan aktiviti memasak secara bersama-sama.
Perancangan tersebut memperlihatkan hasrat pasangan itu untuk menjadikan hari bahagia mereka bukan sekadar perayaan peribadi, malah peluang mengeratkan hubungan dengan masyarakat di dua lokasi berkenaan. – Astro AWANI
