KUALA LUMPUR – Operasi menyelamatkan gelandangan di ibu negara tidak akan membawa perubahan berkekalan sekiranya mereka terus kembali ke jalanan selepas disaring dan dirujuk kepada agensi berkaitan.
Menyedari perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneliti data gelandangan yang dikumpulkan menerusi operasi penguatkuasaan sepanjang tiga tahun lalu bagi mengenal pasti langkah penyelesaian yang lebih berkesan.
Beliau berkata, pendekatan menangani isu berkenaan perlu beralih daripada operasi berulang kepada sistem bantuan susulan yang mampu memenuhi keperluan sebenar golongan terbabit.
“Sampai bila kita mahu buat operasi gelandangan yang sama, kalau akhirnya mereka kembali ke jalanan?” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Hannah, cabaran di lapangan bukan sekadar melibatkan usaha menyaring dan merujuk gelandangan, sebaliknya turut merangkumi kekangan kemudahan serta keperluan perlindungan khusus.
Katanya, antara isu yang dikenal pasti termasuk kekurangan tempat saringan, ketiadaan dokumen pengenalan diri dan keperluan rawatan kesihatan mental, selain perlindungan untuk warga emas serta kanak-kanak.
Beliau berkata, data operasi terdahulu perlu dimanfaatkan bagi memahami masalah yang dihadapi golongan itu dan mengenal pasti kelemahan dalam sistem bantuan sedia ada.
Hannah turut mahu mendapatkan pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam usaha membantu gelandangan sebelum sebarang ketetapan dibawa kepada Jemaah Menteri.
“Saya tidak mahu kita sekadar mengulangi operasi (penguatkuasaan ke atas gelandangan).
Pada Selasa lalu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut menyertai operasi KL Strike di sekitar Kuala Lumpur, sekali gus menyaksikan sendiri cabaran yang dihadapi petugas ketika menangani isu gelandangan.
Usaha meneliti semula data operasi dan mendapatkan pandangan NGO itu diharap dapat membantu merangka pendekatan lebih menyeluruh, supaya bantuan yang diberikan bukan sekadar menyelesaikan masalah di jalanan buat sementara waktu, tetapi turut menangani keperluan mereka selepas operasi berakhir. – KOSMO
