KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memilih konsep perkahwinan bertemakan Arabik Islamik yang elegan sempena majlis akad nikah mereka yang berlangsung pada Sabtu.
Lebih menarik, busana pernikahan yang digayakan pasangan itu direka khas oleh pereka fesyen terkenal, Zaimi Zulkafli, dengan mengetengahkan konsep kesederhanaan, kesopanan dan keindahan yang sarat dengan makna.
Menerusi perkongsian di Instagram, Zaimi mendedahkan bahawa Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah menginginkan persalinan yang sedap dipandang, sopan serta tidak berlebihan.
Menurutnya, permintaan Bella itu menjadi asas kepada penghasilan rekaan yang bukan sahaja menitikberatkan penampilan, malah turut membawa kisah tersendiri buat pasangan berkenaan.
Zaimi turut menjelaskan bahawa inspirasi rekaan tersebut tercetus daripada pengalamannya ketika berada di Madinah bersama Hana, termasuk keindahan payung-payung yang menaungi perkarangan Masjid Nabawi serta tikar sejadah di taman Raudhah.
“‘TENANG’ kami menamakan karya ini. Sebuah lambang perjalanan yang tidak selalu mudah, namun setiap likunya membawa mereka menuju sebuah pengakhiran yang indah, disempurnakan dengan kasih sayang yang tiada penghujungnya,” katanya.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada pukul 10.40 pagi, Sabtu.
Majlis akad nikah itu dikendalikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, manakala bapa Bella, Awang Astillah Abdullah atau Dullah, bertindak sebagai wali.
Upacara berkenaan turut disaksikan oleh Ustaz Syed Abdullah Syed Nordin dan Ustaz Mohd Nizam Md Nor.
Pada majlis tersebut, Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin bernilai RM500 kepada Bella, dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dibalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.
Pasangan itu turut mencipta detik istimewa apabila menjadi pasangan pertama yang disatukan sebagai suami isteri di bangunan ikonik negara, Merdeka 118 Precinct.
Majlis bertemakan Arabik Islamik itu dihadiri seramai 255 jemputan, termasuk ahli keluarga serta kenalan rapat daripada kedua-dua belah pihak. – Instagram
