PUTRAJAYA – Individu beragama Islam yang didakwa menyertai ritual keagamaan bukan Islam menerusi sebuah video tular bakal diteliti pihak berkuasa agama susulan tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyelaraskan siasatan berhubung isu berkenaan.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan perkara itu disiasat berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, laporan berkaitan video berkenaan turut dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Negeri untuk semakan dan tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Jakim sentiasa komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menangani isu ini dengan tegas dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, JAKIM mengingatkan umat Islam supaya lebih berhati-hati ketika menghadiri sebarang acara yang membabitkan ritual keagamaan bukan Islam bagi mengelakkan penglibatan dalam amalan yang bercanggah dengan hukum syarak.
Menurutnya, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum ini menetapkan bahawa penyertaan umat Islam dalam ritual keagamaan agama lain yang mempunyai unsur pemujaan berhala adalah haram dan dilarang.
JAKIM turut menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap individu yang dikaitkan dengan video tular itu perlu dibuat berdasarkan hasil penelitian pihak berkuasa, bukannya semata-mata dakwaan yang tersebar di media sosial.
Sehubungan itu, tindakan susulan akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi memastikan isu berkenaan ditangani secara menyeluruh dan berlandaskan undang-undang. – MYBERITA
