PETALING JAYA – Aksi kejar-mengejar antara polis dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Wangsa Maju, di sini, mencuri perhatian pengguna media sosial selepas rakaman kejadian itu tular pagi tadi.
Situasi mencemaskan itu mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang menyamakan aksi berkenaan dengan permainan video popular, Grand Theft Auto (GTA).
“GTA 6 dah release?” antara komen berseloroh yang mencerminkan keterujaan pengguna media sosial menyaksikan rakaman tersebut.
Menerusi video yang dikongsikan pengguna Threads, @tqriz.hykl, beberapa anggota polis dilihat mengejar kenderaan terbabit sebelum pemandunya berjaya ditahan selepas beberapa minit.
Usaha menahan individu berkenaan turut dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, @bell.naza, mendakwa kejadian berlaku di persimpangan Dato’ Tun Hussein Onn menghala ke Jelatek.
Menurut perkongsian itu, individu terbabit dipercayai cuba merampas tiga hingga empat motosikal bagi meneruskan pelarian, namun gagal.
Rakaman berasingan yang dimuat naik pengguna media sosial lain turut memaparkan kenderaan berkenaan merempuh beberapa kenderaan awam ketika dipercayai cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, punca kejadian serta butiran lanjut berhubung insiden itu masih belum dapat dipastikan dan pengesahan pihak berkuasa diperlukan. – KOSMO
