PETALING JAYA – Penduduk di sekitar Labuan dan Kota Belud, Sabah, mungkin menyaksikan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang pada altitud rendah selama sembilan hari bermula esok hingga 20 Oktober ini.
Situasi itu merupakan sebahagian daripada latihan Air Mobility Tactical Operation (AMTOP) Siri 2/26 yang berlangsung dari 12 hingga 20 Oktober bagi memperkukuh keupayaan operasi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, latihan berkenaan turut melibatkan kerjasama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurut kenyataan itu, latihan berkenaan bertujuan meningkatkan kebolehoperasian antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan selain menilai keberkesanan pelaksanaan penugasan operasi bersama di peringkat taktikal.
Sepanjang tempoh latihan, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal pada altitud rendah, manakala aset maritim turut digerakkan di kawasan latihan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya kekal tenang sekiranya melihat aktiviti penerbangan rendah atau kehadiran aset pertahanan negara sepanjang latihan berlangsung.
Latihan AMTOP Siri 2/26 merupakan sebahagian daripada usaha ATM memperkukuh kerjasama antara perkhidmatan bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi keperluan operasi taktikal. – KOSMO
