Komposer terkenal Ross Ariffin meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seniman tanah air, Ross Ariffin yang menghembuskan nafas terakhir petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook selepas menerima berita mengenai pemergian komposer berusia 63 tahun itu daripada pihak Rumah Seri Kenangan Cheras, tempat Allahyarham menetap sejak November tahun lalu.

“Uncle Ross merupakan komposer yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik tempatan. Saya telah beberapa kali menemui Allahyarham. Beliau berdepan dengan kehidupan yang mencabar, namun tetap tabah meneruskan perjalanan sebagai anak seni,” tulis Fahmi.

Bagaimanapun, punca kematian tidak didedahkan.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Tahun lalu, kisah Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin Jamil mendapat perhatian ramai apabila dilaporkan hidup sebagai gelandangan selama lebih tiga tahun. Nasibnya berubah apabila beliau diberikan unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Anak kelahiran Melaka itu pernah menggubah pelbagai lagu popular yang dinyanyikan oleh nama-nama besar dalam industri hiburan tempatan.

Antara karya terkenal beliau termasuk Dia nyanyian Fauziah Latiff (lirik: Amran Omar), Kau dan Aku oleh Ning Baizura (lirik: Ning Baizura), Kurniaan Dalam Samaran dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza (lirik: S. Amin Shahab) dan Semalam Ku Tolak Ke Tepi nyanyian Liza Aziz (lirik: Datuk Habsah Hassan).

Allahyarham Ross meninggalkan legasi seni yang besar buat generasi akan datang, sekaligus meletakkan namanya sebagai antara komposer yang cukup berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia.

BACA JUGA:  Sekatan Fahmi Reza ke Singapura hanya salah faham
Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITA
admin@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...