GEORGE TOWN – Seramai 71 mahasiswa tahun kedua dari Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya melaksanakan fasa pertama program Comm@Love In Transit (Comm@L.I.T.), sebuah inisiatif komuniti berimpak tinggi yang menyasarkan pemerkasaan golongan gelandangan melalui ilmu dan kemahiran hidup.
Program hasil kerjasama dengan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang (PTGPP) itu turut disokong oleh Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM-USM) dan berlangsung dengan jayanya dari jam 9.15 pagi hingga 2.00 petang.
Bertemakan “Tanggungjawab Sosial, Memperkasa Kehidupan,” program ini merupakan sebahagian daripada penilaian kursus YBP230 Tanggungjawab Sosial Korporat yang diselia oleh Profesor Dr. Jamilah Hj Ahmad.
Antara bengkel yang dijalankan termasuk pembuatan sabun mesra alam menggunakan minyak masak terpakai, pertanian hidroponik, penyediaan makanan berkhasiat, sesi penjagaan kebersihan diri serta saringan hepatitis B – semuanya dirangka selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Dr. Suriati Saad, Pengerusi Program Ijazah Sarjana Muda, Pusat Pengajian Komunikasi, USM.
“Inisiatif seperti Comm@L.I.T. bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti sasaran, tetapi turut membentuk jati diri dan rasa empati dalam kalangan pelajar,” ujar Dr. Suriati dalam ucapan perasmiannya.
Kira-kira 60 penghuni PTGPP menyertai program ini dengan semangat dan keterbukaan, termasuk dalam sesi interaktif bersama penceramah jemputan dari Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (Wilayah Utara).
Profesor Dr. Jamilah menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajar.
“Kami mahu pelajar menyedari bahawa tanggungjawab sosial bukan sekadar konsep akademik, tetapi satu tindakan berterusan untuk membawa perubahan sebenar dalam masyarakat,” katanya.
Salah seorang penghuni PTGPP, Ong Phaik Im, turut berkongsi keterujaan selepas menyertai bengkel.
“Saya rasa seronok kerana dapat belajar sesuatu yang baharu. Aktiviti seperti ini memberi semangat dan membuat kami rasa dihargai,” katanya.
Kejayaan program ini turut dilihat dalam ruang digital apabila siaran langsung melalui TikTok dan Instagram menerima lebih 2,100 tontonan, mencetuskan perbualan positif dalam kalangan warganet tentang pentingnya pembangunan komuniti rentan.
Penganjuran Comm@L.I.T. turut mendapat tajaan dan sokongan pelbagai agensi termasuk IJM Land Corporation, LY Education Technology, Lollipop Educare, RR Clinic, The Vida World Sdn Bhd, Green Hero, KOKI Creator Hub, dan beberapa lagi rakan penaja.
Fasa kedua program ini akan diteruskan pada 14 Jun 2025 menerusi sambutan Hari Terbuka PTGPP yang bakal menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan permainan komuniti yang terbuka kepada orang awam yang ingin menyokong dan memahami lebih dekat usaha pemberdayaan sosial.