Sabtu, 28 Jun 2025
UTAMAHIBURANDrama 'Pewaris Sebenar' tayang realiti tak bertapis, siap ada dialog pedas

Drama ‘Pewaris Sebenar’ tayang realiti tak bertapis, siap ada dialog pedas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebuah drama bersiri vertikal terbaharu berjudul Pewaris Sebenar, arahan pengarah prolifik Islah Canrose Abdul, bakal menemui penonton secara eksklusif menerusi platform penstriman DO DRAMA bermula 27 Jun ini.

Menampilkan sebanyak 73 episod, drama ini dijangka mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penonton tempatan susulan pendekatannya yang berani dan tidak konvensional.

Antara elemen paling mencuri perhatian dalam Pewaris Sebenar ialah penggunaan dialog yang dianggap kasar, terus terang dan sesekali berunsur lucah, yang menurut Islah, merupakan cerminan realiti pertuturan segelintir masyarakat pada masa kini.

Pendekatan itu juga telah menerima reaksi bercampur-baur dalam kalangan netizen, termasuk cemuhan yang mempersoalkan etika dan kesesuaian kandungan.

15

Menurut Islah, keputusan untuk mengekalkan bahasa sebegitu adalah sebahagian daripada usaha untuk mencerminkan sisi sebenar manusia yang tidak sempurna.

“Masyarakat kita memang bercakap macam tu. Tapi bila dengar balik, malu kan? Jadi saya nak orang sedar, kalau kita tak suka dengar orang mencarut, kita kena bercakap elok. Watak dalam drama ini melambangkan sisi manusia sebenar, ada baik dan ada buruk,” ujarnya.

Setiap karakter dalam drama ini telah dibina dengan perincian sejak awal, dan Islah memberi kepercayaan penuh kepada barisan pelakon untuk membawakan watak masing-masing secara jujur dan autentik.

“Semua pelakon tahu apa yang mereka perlu bawa. Semua telah ditetapkan dari awal. Tugas mereka adalah untuk menghidupkan karakter itu sehingga ke penghujung cerita,” tambahnya.

Selain dialog yang tidak berselindung, Pewaris Sebenar juga menyentuh pelbagai isu sosial yang jarang ditonjolkan secara terbuka dalam drama tempatan, termasuk penggunaan alkohol dan pengaruh persekitaran negatif.

Bagaimanapun, Islah menegaskan bahawa penyampaian tersebut bukan untuk menggalakkan perilaku tidak sihat, sebaliknya untuk menunjukkan akibat dan kesan buruk yang mungkin timbul daripadanya.

“Saya tidak mengatakan masyarakat kita jahil, tetapi saya ingin menunjukkan bahawa alkohol bukanlah penyelesaian kepada masalah. Sebaliknya, ia boleh menjadi punca kepada lebih banyak kerosakan dan kemudaratan,” jelasnya.

Dengan kekuatan naratif yang berani, watak yang kompleks serta mesej sosial yang mendalam, Pewaris Sebenar menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih daripada sekadar hiburan, ia adalah refleksi masyarakat dalam bentuk dramatik.

Pewaris Sebenar akan mula ditayangkan secara eksklusif di aplikasi DO DRAMA bermula 27 Jun 2025.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN