Sabtu, 28 Jun 2025
UTAMAJENAYAHKereta mewah selebriti antara 101 kenderaan disita JPJ dalam Ops Luxury

Kereta mewah selebriti antara 101 kenderaan disita JPJ dalam Ops Luxury

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta mewah jenis Porsche milik seorang selebriti tanah air antara 101 kenderaan bernilai tinggi yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Luxury yang dijalankan di seluruh negara sejak awal Jun lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kenderaan tersebut disita kerana didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans, menjadikannya antara pelbagai kesalahan yang dikesan sepanjang operasi berkenaan.

“JPJ telah mengenal pasti sebanyak 101 kenderaan mewah termasuk Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne, BMW 530e, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Vellfire dan Mercedes-Benz yang terlibat dalam pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya dalam sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Selasa.

Antara kesalahan lain yang turut dikesan termasuk lesen memandu tamat tempoh atau tidak sah, penggunaan nombor pendaftaran palsu, ketidakpadanan nombor casis dengan maklumat dalam sistem, serta penggunaan ‘trade plate’ palsu.

Kesemua kenderaan terbabit kini ditahan di depoh simpanan JPJ dan disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan berkaitan untuk siasatan lanjut.

Menurut Aedy Fadly, Ops Luxury dilaksanakan bagi memperkukuh penguatkuasaan ke atas pemilikan dan penggunaan kenderaan mewah yang melanggar undang-undang jalan raya, dengan memberi isyarat jelas bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar.

“Pemilikan kenderaan mewah bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya yang sah. Semua pemilik kenderaan perlu memastikan dokumen dan lesen memandu sentiasa diperbaharui serta sah digunakan,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat pelanggaran undang-undang melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my dengan butiran lengkap.

Tambah beliau, Ops Luxury akan diteruskan secara berkala demi menjamin keselamatan pengguna dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN