KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menyita Menara Ilham, bangunan 60 tingkat di ibu negara, susulan siasatan berkaitan pengubahan wang haram.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sitaan dilakukan mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLATFPUAA) selepas mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya pada 4 Jun.
Menurut kenyataan itu, penyitaan dilakukan selepas timbalan pendakwa raya berpuas hati dengan maklumat diperoleh bahawa bangunan tersebut berkait dengan kesalahan di bawah subseksyen 4(1) AMLATFPUAA.
“Sehubungan itu, segala urusan pindah milik harta tidak alih Menara Ilham kini dilarang dan kegagalan mematuhi notis ini adalah satu kesalahan,” jelas kenyataan itu.
Ini merupakan kali kedua Menara Ilham disita oleh SPRM.
Pada Disember 2023, tindakan sama diambil untuk mengelakkan gangguan terhadap siasatan.
Bulan lalu, SPRM turut membuka lapan kertas siasatan baharu berkaitan aset bernilai tinggi yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya.
Awal minggu ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan SPRM untuk membekukan aset isteri Daim, Naimah Khalid, bernilai £132 juta (RM758.2 juta), termasuk hartanah dan akaun bank.
Naimah dijangka mencabar perintah tersebut atas alasan aset diperoleh secara sah.