KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan bahawa tiada penutupan jalan akan dilakukan sempena penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 8 hingga 11 Julai ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan orang awam dan pengguna jalan raya di sekitar ibu negara.
“Tidak akan ada penutupan jalan untuk acara Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 tersebut. Jadi orang ramai boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa penutupan jalan akan dilaksanakan semula ketika Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog yang dijadualkan berlangsung hujung Oktober depan.
“Penutupan jalan hanya akan dibuat bagi Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog. Insya-Allah pada hujung Oktober dan maklumat lanjut akan dimaklumkan apabila tiba waktunya,” jelas beliau.
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 merupakan antara acara penting dalam kalendar diplomatik serantau dan dijangka melibatkan kehadiran delegasi dari 10 negara anggota ASEAN serta rakan strategik.