Kehadiran empat pemain warisan baharu nyata memberi impak luar biasa apabila skuad kendalian Peter Cklamovski tampil agresif sejak wisel permulaan ditiup, memaksa Vietnam lebih banyak bertahan dan gagal mencorak serangan berbahaya.
Dua penyerang warisan, Joao Vitor Figueireido dan Gustavo Holgado, tampil cemerlang dalam debut mereka apabila masing-masing berjaya mencatat nama selaku penjaring.
Walaupun separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, Harimau Malaya mencuri perhatian dengan beberapa percubaan menarik termasuk sepakan padu Dion Cools yang terkena tiang serta tandukan Figueireido yang diselamatkan penjaga gol Vietnam, Nguyen Filip.
Malaysia akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-48 menerusi rembatan Figueireido yang terbias pertahanan lawan. Holgado menggandakan kelebihan 10 minit kemudian hasil hantaran Arif Aiman Hanapi.
Arif Aiman sekali lagi memainkan peranan penting apabila membantu jaringan ketiga oleh Corbin Ong pada minit ke-67, sebelum Dion Cools melengkapkan malam gemilang Malaysia dengan gol keempat pada minit ke-88.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan enam mata daripada dua perlawanan. Vietnam dan Laos masing-masing mengutip tiga mata, manakala Nepal masih belum meraih sebarang mata. – MYBERITA








