Sheila Majid hadiahkan konsert istimewa sempena 4 dekad dalam industri seni

KUALA LUMPUR – Selepas lebih empat dekad mewarnai industri muzik tanah air, Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid bakal menghadiahkan konsert solo istimewa bertajuk Sheila Majid 40 Years in Music kepada peminat setianya.

Konsert berskala besar itu dijadual berlangsung pada 8 November depan di Axiata Arena, Bukit Jalil dan dianjurkan oleh Altus Prohouse, sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan karier seninya yang mencecah usia 40 tahun.

“Sheila Majid 40 Years in Music ini adalah penanda aras baharu dalam perjalanan seni saya. Empat dekad bukanlah tempoh yang singkat, dan saya sangat bersyukur kerana masih diterima serta memiliki peminat yang setia menyokong,” katanya pada sidang media khas yang diadakan di ibu negara, hari ini.

Menurut penyanyi yang sinonim dengan lagu Sinaran itu, konsert berkenaan turut menjadi penghormatan kepada semua individu yang pernah menjadi sebahagian daripada kejayaannya.

“Konsert ini juga adalah tribute kepada semua yang berada di belakang saya selama ini – dari pemuzik, penerbit, kru, hinggalah peminat yang terus memberikan cinta dan semangat,” ujar beliau lagi.

Sheila, atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, 60, turut meluahkan rasa teruja kerana ini merupakan kali pertama beliau bakal beraksi di pentas gah Axiata Arena.

“Sebelum ini saya pernah buat konsert di Stadium Negara, Stadium Merdeka dan WTC, tapi ini kali pertama di Axiata Arena. Saya benar-benar tak sabar untuk berikan persembahan terbaik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kehadiran artis undangan, Sheila menjelaskan beliau masih belum memutuskan sebarang perancangan ke arah itu.

“Setakat ini, kami masih dalam proses memilih lagu dan belum fikirkan soal penyanyi jemputan. Malam itu adalah tentang saya dan perjalanan 40 tahun saya sebagai anak seni,” katanya lagi.

Beliau juga enggan mendedahkan terlalu banyak butiran tentang pengisian konsert kerana khuatir ada pihak yang mungkin meniru konsep, terutama dengan wujudnya teknologi kecerdasan buatan (AI).

BACA JUGA:  Tiket persembahan solo ‘DUKES QUEST’ habis terjual dalam dua minggu

Konsert terakhir Sheila Majid berskala besar adalah Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di WTC pada 18 Mac tahun lalu.

Tiket untuk konsert Sheila Majid 40 Years in Music mula dijual pada 17 Julai ini dengan harga bermula RM268 hingga RM3,400 dan boleh didapati di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/sheilamajid40.

Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...