Dua penunggang maut dalam perjalanan ke Himpunan RXZ Members 7.0

Dungun – Dua penunggang motosikal Yamaha RXZ maut dalam dua kemalangan berasingan ketika dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.

Kemalangan pertama berlaku di Kilometer 370, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Bukit Besi, apabila mangsa, Hariz Fahmi Shaizuren Amin, dari Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, maut di lokasi kejadian sekitar jam 12 tengah hari.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum terbabas dan terbalik.

“Akibat insiden itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya. Mayatnya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam kejadian berasingan di Kilometer 394, Ajil, Hulu Terengganu, seorang jururawat, Roslinawati Ramli, 33, dari Johor turut maut apabila motosikal ditungganginya hilang kawalan ketika bergerak dalam konvoi bersama 13 motosikal lain.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Sharudin Abdul Wahab, berkata mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses lanjut. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Polis menasihati semua penunggang motosikal yang menyertai program konvoi agar mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan jalan raya serta menunggang dengan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

BACA JUGA:  Pasangan suami isteri ditahan bantu siasatan kes dera fizikal
Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...