Peserta RXZ Members 7.0 maut dalam kemalangan di Keratong

BERA[KEMAS KINI] Seorang eksekutif jualan meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Palong 8, di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Syukri Shahrudin, 33, dari Taman Sedia Raja, Chembong, Rembau, Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata insiden berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan ke Terengganu bagi menyertai program Himpunan RXZ Members 7.0.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga, namun dia meneruskan perjalanan lurus sebelum melanggar tebing di bahu jalan.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal motosikal yang ditunggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keadaan jalan ketika kejadian berada dalam keadaan baik dengan permukaan rata, kering serta pencahayaan jelas.

Difahamkan, mangsa menyertai konvoi kira-kira 60 motosikal dan berada di kelompok hadapan kumpulan itu ketika nahas berlaku.

“Semakan mendapati mangsa tidak mempunyai rekod saman trafik, manakala motosikal Yamaha RXZ yang terlibat akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Menurut sumber, mangsa yang turut dikenali sebagai Ah Beng merupakan bapa kepada tiga anak yang masih kecil. Jenazah akan dihantar pulang ke kampung halaman di Rembau bagi urusan pengebumian.

Berita berkenaan turut mendapat perhatian di media sosial apabila rakan-rakan serta kenalan menzahirkan rasa sedih dan takziah.

“Mohon doakan sahabat saya… Dua tiga minggu ini asyik sebut ‘Boss, kau tahu kan aku sayang kau’. Saya tidak dapat menerima hakikat,” luah seorang rakan mangsa, Muhamad Asyraf, di laman Facebook.

Sementara itu, pengguna lain turut berkongsi ucapan takziah serta mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

BACA JUGA:  [VIDEO] Jenazah Syukor Hashim dikebumi dengan istiadat ketenteraan, lebih 500 hadir beri penghormatan
Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...