Anwar bersama 10,000 jemaah hadiri Kuliah Subuh MADANI Al-Habib Umar di Masjid Putra

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama lebih 10,000 jemaah menunaikan solat Subuh dan menghadiri Kuliah MADANI yang disampaikan tokoh ulama dunia, Al-Habib Umar Hafidz, di Masjid Putra, di sini, pagi tadi.

Dalam kuliah tersebut, Al-Habib Umar membacakan kitab Qomi’ Al-Thugyan ‘ala Manzumah Syu’ab al-Iman karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani, yang menghuraikan 77 cabang iman merangkumi aspek akidah, akhlak dan syariah.

Antara intipati kuliah itu menekankan kepentingan mengingati sifat Allah SWT, kalam-Nya dan Rasulullah SAW sebagai asas keimanan serta landasan kehidupan berakhlak.

Menurut beliau, antara tanda kecintaan kepada Al-Quran ialah mencintai Rasulullah SAW, kerana Allah SWT memerintahkan umat Islam beribadah kepada-Nya dengan mencontohi dan mencintai Nabi Muhammad SAW.

“Orang yang benar-benar mencintai Nabi akan mencintai sunnah Baginda, menjadikan hari akhirat sebagai matlamat dan merasakan dirinya sentiasa hampir dengan Allah SWT,” katanya.

Al-Habib Umar turut menegaskan bahawa mereka yang mencintai akhirat akan menjauhkan diri daripada urusan dunia yang melalaikan serta meninggalkan dosa besar dan kewajipan agama.

Mengakhiri kuliah, beliau mendoakan kesejahteraan Perdana Menteri serta seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa diberkati Allah SWT, selain turut menzahirkan doa buat rakyat Palestin yang masih tertindas.

Pada majlis sama, Anwar turut menyerahkan naskhah Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basr kepada Al-Habib Umar sebagai simbolik sempurnanya salah satu inisiatif di bawah Projek 1 Juta Al-Quran.

Untuk rekod, mushaf berkenaan merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Malaysia, Yayasan Restu, Nasyrul Quran dan Dar al-Mustafa, Yemen yang dipimpin oleh Al-Habib Umar sendiri.

Mushaf bersaiz A5 itu menampilkan tulisan khat yang jelas dan indah, dihiasi dengan motif seni Yemen yang mencerminkan kesatuan antara rohani dan estetika Islam. Penerbitannya sekali gus memperkukuh hubungan sejarah dan dakwah antara Malaysia dan Yemen, serta menzahirkan keindahan Islam yang menyatukan umat melalui wahyu dan seni.

BACA JUGA:  Deruman 25 pesawat TUDM gegar Langkawi, rasmi pembukaan LIMA’25

Projek berkenaan juga dilihat sebagai satu lagi usaha signifikan dalam memartabatkan khazanah seni dan ilmu Al-Quran di Malaysia, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang diterajui Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar tiba di masjid berkenaan pada jam 5.55 pagi untuk menunaikan solat Subuh berjemaah selepas program dimulakan dengan Qiamullail pada jam 5 pagi, diikuti kuliah Subuh oleh Al-Habib Umar pada jam 6.15 pagi.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com

TRENDING

Agong, Raja Permaisuri hargai kesabaran dan jasa guru

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan...

TARUNG: Unforgiven catat kutipan RM10.5 juta dalam seminggu tayang

KUALA LUMPUR - Filem aksi tempatan, TARUNG: Unforgiven terus...

Giliran Fazley Yaakob, Fariedz pula tersingkir konsert minggu keempat TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan bintang program realiti Talk To...

Kes hina Sultan Selangor, “Bukan tangkap hari ini, esok terus tuduh” – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan...

Kes gadis ditikam 61 kali, dakwaan suspek ada kaitan polis tidak benar – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri...