KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk melibatkan ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di lima negeri sehingga pukul 5 petang.
Menurut kenyataan MetMalaysia, cuaca buruk dijangka melanda Perak khususnya di kawasan Larut, Matang dan Selama, Manjung serta Bagan Datuk.
Di Selangor, hujan lebat diramal berlaku di kawasan Sabak Bernam, manakala di Johor, kawasan terlibat termasuk Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
Ribut petir turut dijangka berlaku di Sarawak, membabitkan kawasan Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) serta Limbang.
Sementara itu, di Sabah, hujan lebat dijangka melibatkan Pedalaman seperti Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan; Pantai Barat termasuk Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud; Tawau (Tawau dan Lahad Datu); Sandakan (Kinabatangan) serta Kudat (Kota Marudu).
MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan kerana terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam, yang berpotensi menyebabkan banjir sementara dan gangguan aktiviti harian.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memantau ramalan cuaca terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di luar rumah.

