PEACE USM, sukarelawan antarabangsa & MyFundAction santuni komuniti orang asli

GERIK – Keindahan alam Royal Belum menjadi saksi penyatuan belia tempatan dan antarabangsa apabila seramai 32 sukarelawan belia menyertai projek sosial The Houseboat Adventure 2026: PEACE4Community yang merupakan satu inisiatif kesukarelawanan rentas budaya yang memfokuskan pembangunan pendidikan dan komuniti Orang Asli di Kampung Tebang Baru, di sini, 9 hingga 11 Januari lalu.

Program anjuran Sekretariat P.E.A.C.E. (People Empowered to Act for Community & Empathy) itu menghimpunkan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) bersama pelajar dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta penyertaan pelajar antarabangsa dari Ethiopia, Perancis, Pakistan, Finland dan Amerika Syarikat, sekali gus menjadikan program ini sebagai platform kesukarelawanan berimpak global.

Sepanjang tiga hari penganjuran, para sukarelawan melaksanakan pelbagai aktiviti berasaskan komuniti yang memberi manfaat langsung kepada lebih 100 penduduk Kampung Tebang Baru, khususnya kanak-kanak Orang Asli berusia antara empat hingga 12 tahun.

Antara pengisian utama termasuk Program Literasi Asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), sesi pembelajaran mengaji, sukaneka keluarga, serta ziarah rumah ke rumah bagi memahami realiti kehidupan dan cabaran komuniti setempat secara lebih dekat.

Menurut salah seorang kanak-kanak Orang Asli yang terlibat, kehadiran sukarelawan yang sanggup datang dari jauh untuk mengajar membaca dan mengaji membuatkan mereka berasa dihargai serta lebih bersemangat untuk belajar. Kanak-kanak tersebut turut menyuarakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan sehingga mereka mampu menamatkan pembelajaran Iqra’ dan Al-Quran.

Sebagai simbolik penutup program, sebanyak 30 Kotak Kebajikan “Peace 4 Community” yang mengandungi barangan keperluan asas telah diagihkan kepada keluarga terpilih menerusi kerjasama strategik bersama MyFundAction.

Inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, melalui pendekatan kolaboratif antara mahasiswa, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan.

Keunikan program ini turut terserlah apabila keseluruhan aktiviti pembangunan diri peserta dilaksanakan di atas kapal houseboat, menjadikannya sebuah platform pembelajaran terapung yang menggabungkan elemen kepimpinan, kesejahteraan emosi dan pembinaan semangat berpasukan.

BACA JUGA:  Arab Saudi sambut Aidilfitri pada Ahad

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk water confidence activity, sesi perkongsian nilai, aktiviti berkumpulan serta sesi refleksi dan penilaian bagi menilai impak serta hala tuju program kesukarelawanan P.E.A.C.E. pada masa hadapan.

Secara keseluruhan, The Houseboat Adventure 2026: PEACE4Community membuktikan peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan sosial yang mampu menyumbang secara bermakna kepada komuniti, bukan sahaja di peringkat tempatan malah dalam konteks global.

Program ini diharap dapat diteruskan sebagai salah satu inisiatif pembangunan mahasiswa holistik di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPA), Universiti Sains Malaysia, dalam usaha melahirkan generasi belia yang berempati, berjiwa global dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...