KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pempengaruh media sosial yang didakwa menyiarkan secara langsung perlawanan Piala Dunia 2026 di TikTok miliknya mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial, apabila isu hak penyiaran kejohanan itu kembali dipersoalkan.
Klip video yang tular di platform Threads menunjukkan akaun dengan kira-kira 1.9 juta pengikut itu memaparkan siaran langsung perlawanan antara Ivory Coast dan Norway, yang dipercayai sedang berlangsung pada awal pagi. Siaran berkenaan dilaporkan menarik lebih 15,000 tontonan serta ribuan perkongsian ketika ia sedang berlangsung.
View on Threads
Lebih mengejutkan, perkongsian berkenaan turut mendakwa sesi live tersebut mencecah sehingga 1.7 juta tanda suka, selain ditonton pengguna dari luar negara, sekali gus meningkatkan lagi perhatian terhadap kandungan yang disiarkan.
Seorang pengguna Threads yang berkongsi tangkap layar siaran berkenaan berkata: “RTM beli siaran untuk rakyat Malaysia. Dia (pempengaruh) buat live TikTok share benda ni satu dunia gara-gara nak kejar view.”
Dalam pada itu, semakan turut menunjukkan individu sama dipercayai mempromosikan siaran langsung perlawanan lain termasuk pertembungan Jerman dan Paraguay, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pematuhan hak penyiaran rasmi.
“Semalam (Jerman vs Paraguay) sampai 503,000 tengok live dia. Jangan kena saman dengan FIFA atau RTM dah la ye,” kata pengguna berkenaan.
RTM dan Unifi TV sebelum ini dilaporkan memegang hak penyiaran rasmi Piala Dunia 2026 di Malaysia, menjadikan sebarang siaran tanpa kebenaran berpotensi melanggar peraturan hak cipta dan penyiaran.
Susulan itu, ruangan komen di media sosial dibanjiri kecaman, dengan ramai pengguna mendesak tindakan undang-undang diambil terhadap individu terbabit.
“Moga mereka saman dia, betul-betul ambil kesempatan,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna pula menulis: “Saman je RTM, bukan RTM je, kalau boleh FIFA saman dia sekali tayang secara haram.”
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak RTM mahupun pemilik akaun TikTok berkenaan berhubung dakwaan tersebut.


