Khamis | 01/10/2026 | 10:59:45 pm
HomeMahkamahRemaja cedera dihempas ke kerusi menang rayuan, guru KAFA dan YIT bayar...

Remaja cedera dihempas ke kerusi menang rayuan, guru KAFA dan YIT bayar RM30,000

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja yang cedera parah selepas dihempas ke kerusi kayu ketika berusia sembilan tahun akhirnya memperoleh pembelaan apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Yayasan Islam Terengganu (YIT) membayar ganti rugi RM30,000 kepadanya.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Yusrin Faidz Yusoff, semalam selepas membenarkan rayuan dikemukakan remaja berkenaan melalui ibunya.

Peguam yang mewakili mangsa, Mohd Hazwan Hamidun berkata, mahkamah turut memerintahkan guru KAFA, Ahmad Mursyidin Abdullah dan YIT membayar kos RM17,000 serta faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh saman difailkan pada Januari 2023 sehingga penyelesaian penuh.

Katanya, keputusan berkenaan mengetepikan penghakiman Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang sebelum ini menolak tuntutan remaja terbabit.

“Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi mendapati hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dan gagal menilai keterangan dua saksi mata yang berada di dalam kelas sama dengan mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd Hazwan berkata, Mahkamah Tinggi turut mendapati kegagalan meneliti laporan perubatan pakar Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) menjadi antara perkara yang menyebabkan keputusan terdahulu diketepikan.

“Laporan perubatan pakar HSNZ mengesahkan kecederaan itu adalah akibat hentakan kuat,” katanya.

Dalam kejadian pada 6 Julai 2022, mangsa yang ketika itu berada di Tahun Tiga didakwa mengalami kecederaan pada tulang tibia atau fibula selepas dihempas ke sebuah kerusi kayu di sebuah sekolah di Marang.

Mangsa yang ketika kejadian berusia sembilan tahun kemudiannya memfailkan saman terhadap guru KAFA berkenaan atas dakwaan melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kecederaan tersebut.

Saman itu difailkan pada Januari 2023 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dengan ibunya bertindak sebagai plaintif bagi pihak mangsa yang kini berusia 13 tahun.

– Berita Harian

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Khamis, 1 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|