TAWAU – Tindakan seorang bapa mengambil parang dan mengejar rakan senegaranya selepas dimaklumkan anak perempuannya didakwa menjadi mangsa serangan seksual berakhir dengan hukuman penjara 13 tahun di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 33 tahun pada Ogos 2024.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman berkenaan selepas pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 2 September 2024 serta merujuknya kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku selepas anak perempuan tertuduh yang ketika itu berusia 12 tahun memaklumkan kepada ibunya bahawa dia didakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh si mati ketika dalam perjalanan pulang daripada satu majlis keramaian pada malam kejadian.
Tertuduh yang mengetahui perkara itu kemudian mengambil sebilah parang sebelum mencari mangsa dan mengejarnya sehingga ke kawasan reban ayam berhampiran.
Mangsa kemudiannya mengalami kecederaan akibat libasan parang yang dilakukan tertuduh beberapa kali.
Siasatan lanjut turut menemukan bukti forensik yang mengaitkan si mati dengan dakwaan terhadap anak tertuduh, termasuk penemuan DNA mangsa pada kepingan kuku kanak-kanak berkenaan serta pada sampel berkaitan pakaian dalamnya.
Pemeriksaan di Hospital Tawau turut mendapati terdapat kecederaan baharu pada bahagian sulit kanak-kanak berkenaan.
Polis kemudian merampas parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian ketika menahan tertuduh di rumahnya pada 2 September 2024.
Tertuduh yang merupakan bapa kepada enam anak didakwa menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di sini, antara kira-kira 7.30 malam 31 Ogos 2024 hingga tengah hari 1 September 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Nur Nisla Abd Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Jhessery P Kang. – Berita Harian
