KUALA LUMPUR – Parlimen Malaysia kini mempunyai perkhidmatan khusus untuk mengurus pentadbiran, sumber manusia dan urusan institusinya sendiri susulan penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelaksanaan akta berkenaan menjadi antara pencapaian penting dalam agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, tarikh 1 Oktober 2026 ditetapkan sebagai tarikh kuat kuasa Akta 869 serta pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Penguatkuasaan akta itu merupakan antara pencapaian signifikan agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI dan detik bersejarah bagi Parlimen Malaysia setelah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394] dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] berkuat kuasa pada 20 November 1992,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azalina, penguatkuasaan itu sekali gus memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen negara.
Katanya, reformasi berkenaan turut mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip pengasingan kuasa serta sistem semak dan imbang antara cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman.
“Autonomi institusi yang lebih kukuh membolehkan Parlimen melaksanakan fungsi perlembagaan serta tanggungjawabnya kepada rakyat dengan lebih bebas, berkesan dan berwibawa,” katanya.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang mula berkuat kuasa hari ini mengembalikan kerangka perkhidmatan khusus Parlimen selepas perkhidmatan berkenaan dimansuhkan lebih tiga dekad lalu.
– RTM
