KUANTAN – Penyanyi Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng Spring kini bergelar Datuk selepas dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran berkenaan, hari ini.
Ameng, yang berasal dari Besut, Terengganu, menerima pengurniaan itu bersempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain Ameng, bekas pemain bola sepak negara, See Kim Seng dan pengulas sukan, Abu Bakar Atan turut menerima DIMP dalam istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini.
Pengurniaan itu mendapat perhatian dalam kalangan netizen apabila rata-rata menzahirkan ucapan tahniah kepada Ameng menerusi media sosial atas gelaran baharu yang diterimanya.
Ameng merupakan antara 32 penerima DIMP pada istiadat berkenaan.
Pada istiadat sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada lima penerima termasuk Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi.
Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) pula dikurniakan kepada seorang penerima, manakala dua individu lagi menerima darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP).
– MYBERITA
