SHAH ALAM – Dana lebih RM37.37 juta yang diperuntukkan bagi pembangunan projek tenaga solar berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Pahang menjadi subjek pertuduhan pecah amanah jenayah terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Azlizan Fadzil mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Azlizan yang ketika itu memegang jawatan CEO UHSB didakwa telah diamanahkan dengan penguasaan terhadap wang berjumlah RM37,374,612.68.
Dana berkenaan diperuntukkan bagi pelaburan pembangunan projek penjanaan elektrik solar fotovolta berskala besar berkapasiti 50MW di Gambang, Pahang.
Bagaimanapun, beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang tersebut dengan secara tidak jujur menyalahgunakannya menerusi pelbagai pembayaran bagi tujuan selain daripada yang ditetapkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, Menara Sultan Abdul Aziz Shah antara 2 Februari hingga 2 Oktober 2017.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda sekiranya sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Azlizan diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin, selain memerintahkannya menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap tiga bulan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How mencadangkan jaminan RM100,000 dengan mengambil kira jumlah wang yang terlibat serta kepentingan kes berkenaan.
Peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Azlizan bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan atas faktor keadaan kesihatan dan kewangan anak guamnya.
Menurutnya, Azlizan yang hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda mengalami strok serta ketidakupayaan kognitif dan kini tidak bekerja.
“Mereka juga mempunyai tujuh anak yang masih belajar dan ditanggung oleh isterinya,” katanya kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 3 November depan untuk pengurusan kes. – MYBERITA
