KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh media sosial, Aliff Syukri Kamarzaman memilih untuk tidak memanjangkan lagi isu melibatkan pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berhubung dakwaan segelintir pelanggan meletakkan kenderaan secara ‘double park’ berhampiran premis perniagaannya.
Menurut Aliff Syukri, dia tidak mahu mengulas perkara tersebut secara berlebihan dan memilih untuk menghormati Ahmad Idham yang dianggap lebih berusia daripadanya.
“Saya tak nak komen lebih-lebih dan sebagai seorang yang lebih tua daripada saya, saya hormatkan dia,” katanya ketika ditemui media.
Dalam masa sama, Aliff memaklumkan bahawa dia terbuka sekiranya kedua-dua pihak ingin bertemu bagi berbincang mengenai isu berkenaan secara baik memandangkan jarak premis mereka hanya sekitar 10 langkah.
“Saya terbuka kalau selepas ini kita nak berjumpa dan berbincang sama-sama. Premis kita pun jaraknya hanya 10 langkah sahaja. Saya tak ada apa-apa masalah dan mungkin perkara ini telah diprovokasi sehingga tercetusnya isu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Brandfilm Raya D’Herbs bertajuk ‘Ya, Abang Saya Sekuriti’ yang berlangsung di GSC IOI Mall Damansara pada Isnin.
Mengulas lanjut, Aliff menjelaskan pertambahan pelanggan di premis perniagaannya merupakan sesuatu yang tidak dijangka sehingga menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan memanggil pasukan RELA bagi membantu mengawal lalu lintas di sekitar kawasan tersebut.
“Sepanjang berniaga, saya tak pernah menyangka wisma kami akan dihadiri pelanggan seramai itu. Kami juga ada inisiatif dengan memanggil pasukan RELA untuk menjaga lalu lintas di sekitar kawasan premis kami dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aliff melihat isu yang timbul dari sudut positif apabila menyifatkan situasi tersebut secara tidak langsung telah membantu mempromosikan perniagaannya.
“Cuma apa yang abang (Ahmad Idham) buat itu dalam masa yang sama telah mempromosikan perniagaan saya. Jadi, saya nak ucapkan ribuan terima kasih. Saya tak ambil hati dan saya memaafkan. Dalam masa yang sama, saya juga memohon maaf jika ada mengganggu premis dia,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Idham mencetuskan perbualan hangat di media sosial apabila meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan segelintir pelanggan yang didakwa meletakkan kenderaan secara double park sehingga mengganggu operasi sekolah miliknya yang terletak berhampiran premis perniagaan Aliff Syukri.
Pengarah filem Impak Maksima itu kemudiannya tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa hantaran tersebut dibuat sebagai tanda kecewa terhadap sikap segelintir pengguna jalan raya. – MYBERITA

